Khamis, 4 Disember 2014

MANFAAT MENZIARAHI KUBUR


MANFAAT MENZIARAHI KUBUR

(Dipetik daripada Kitab Rahsia kematian, alam akhirat dan kiamat-Imam al Qurtubi)

Para ulama berkata, “Sesuatu yang paling besar manfaatnya bagi hati adalah menziarahi kubur.”

            Apabila hati telah menjadi keras, maka ada empat cara yang boleh dilakukan untuk mengubatinya:

PERTAMA:  Membuang semua penyakit hati dengan cara menghadiri majlis taklim yang memberi pelajaran mengenai hikmah mengingati mati, cerita orang soleh, khabar baik dan ancaman. Semuanya dapat mengubah hati menjadi lembut.

 

KEDUA:        Banyak mengingati mati. Diceritakan bahawa ada seorang wanita datang kepada Aisyah R.A untuk bertanya tentang hatinya yang telah menjadi keras. Aisyah R.A lalu menjawab, “Perbanyakkanlah mengingati mati, kerana perkara itu dapat membuat hati mu menjadi lembut.” Wanita itu kemudian melaksanakan perintah Aisyah R.A sehingga hatinya menjadi lembut.

            Para ulama menyatakan bahawa mengingati mati dapat melembutkan hati, menghindarkan diri daripada perbuatan maksiat, menghindarkan diri mencari kesenangan dunia dan meringankan beban seseorang.

 

KETIGA:        Melihat orang mati. Melihat orang mati, mulai sakaratul maut sehingga jiwa dicabut, serta membayangkan apa yang yang akan berlaku kepada dirinya setelah dia meninggal dunia, dapat mengekang hawa nafsu, membuang kesenangan duniawi, menyebabkan mata tidak dapat terpejam dan badan tidak dapat berehat, serta memberikan motivasi untuk melakukan amal soleh.

            Diceritakan oleh Al Hasan Al Basri, bahawa ketika dia pergi melawat orang sakit, dia melihat orang tersebut menderita akibat sakaratul maut.

            Al Hasan Al Basri kemudian pergi menemui keluarga orang itu, dan sesampainya di sana dia melihat semua anggota keluarganya berada dalam keadaan pucat. Mereka lalu berkata kepada Al Hasan Al Basri, “Makanlah hidangan ini, semoga Allah S.W.T memberkati mu.” Al Hasan Al Basri kemudian berkata kepada mereka, “Kamu semua lebih berhak atas hidangan ini. Demi Allah, aku baru sahaja melihat orang yang sedang menanggung pedihnya sakaratul maut dan aku tidak akan berhenti melakukan amal untuknya sehingga aku berjumpa dengannya.”

            Ketiga-tiga perkara yang telah dinyatakan tadi amat berguna bagi orang yang hatinya menjadi keras dan banyak melakukan dosa. Juga untuk melindungi diri daripada pujuk rayu syaitan serta fitnah yang dibawanya, serta mengekang diri daripada melakukan perbuatan dosa.

            Apabila ketiga-tiga perkara tersebut tidak memberi perubahan kepada diri seseorang, maka alternatif terakhir adalah menziarahi kubur.

 

KEEMPAT:  Menziarahi kubur. Sebagaimana terdapat dalam sabda Rasulullah S.A.W., “Hendaklah kamu menziarahi kubur, kerana perkara itu dapat menjadikan diri mengingati kematian dan kehidupan akhirat, serta menjadikan diri untuk hidup zuhud.”

            Pertama, mendengar dengan telinga.

            Kedua, memberitahu pada hati akan Hari Berbangkit, serta memupuk di dalam hati

perasaan takut dan cemas ketika melihat orang mati.

Menziarahi dan melihat kubur orang Islam pengaruhnya lebih besar daripada perkara pertama dan kedua di atas.

Rasulullah S.A.W. bersabda,

øÒ@òÄ@òÍB@ò¨@óÀ@ô»B@ò· ój@òJ@òb@ô»A òo@ôÎ@ò»

“Mendengar berita tidak sama dengan melihat secara langsung.” (HR.Ibnu Abbas R.A)

(Teks hadis seperti ini hanya diriwayatkan oleh Ibnu Abbas R.A.)

            Mengambil pelajaran secara langsung daripada orang yang akan meninggal dunia tidak dapat ditemui setiap masa, sehingga tidak dapat diterapkan kepada orang yang mahu mengubati hatinya dengan intensif. Sedangkan menziarahi kubur boleh dilakukan pada setiap masa dan manfaatnya lebih meresap ke dalam hati. Orang yang akan menziarahi kubur perlu memperhatikan serta melaksanakan adabnya. Tujuan seseorang menziarahi kubur bukan hanya sekadar mengunjungi kubur, tetapi untuk mengharapkan keredaan Allah S.W.T., mengubati hatinya yang kotor, serta menghadiahkan pahala bacaan al Quran kepada si mati.

Orang yang menziarahi kubur dilarang melakukan perkara berikut ini:

1.      Berjalan di atas kubur.

2.      Duduk-duduk di atas kubur.

3.      Membuka kasut atau selipar.

Apabila seseorang tiba di kubur, maka ucapkan:

 òÅ@ôÎ@øÄ@ø¿ôÛ@ó¿ ùÂôÌ@ò³ òiAòe ôÁ@ó¸@ôÎ@ò¼@ò§ óÂòÝ@ún@»A

Bermaksud:Selamat atas kamu semua, wahai orang mukmin, penghuni kubur.

(Hadis Riwayat Muslim, 249)

            At Tirmizi meriwayatkan dalam Al Jami’: Ada seorang lelaki mendatangi Rasulullah S.A.W., kemudian dia mengucapkan, “alaikassalam.” Rasulullah S.A.W. kemudian berkata, “Janganlah kamu mengucapkan ‘alaikassalam’, kerana itu salam untuk orang mati.”

            Orang yang menziarahi kubur hendaklah menghadapkan wajahnya ke kubur ketika sedang menziarah, seolah-olah di hadapannya ada orang yang masih hidup. Adapun adab bercakap dengan seseorang adalah menghadapkan wajah ke arah lawannya bercakap, begitu juga dengan mayat. Seperti ini juga yang perlu dilakukan ketika menziarahi kubur. Orang yang menziarahi kubur hendaklah mengambil pelajaran daripada orang mati yang sekarang berada di dalam tanah, terpisah daripada keluarga dan orang yang dicintainya, yang kematian datang kepadanya pada waktu yang tidak disangka-sangka.

            Wahai orang yang menziarahi kubur, ingatlah keadaan para saudara mu yang telah mendahului kamu, yang ketika hidup di dunia mereka sentiasa mengumpulkan harta dan berusaha menggapai angan-angan mereka. Tetapi bagaimana keadaan mereka sekarang, ketika angan-angan telah terputus, harta yang mereka kumpulkan tidak berguna, tanah telah menimbun kemegahan diri mereka, isteri mereka telah menjadi janda dan anak-anak mereka telah menjadi yatim dan sengsara.

Khamis,11 Safar 1436  / 4 Disember 2014

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan