Jumaat, 24 Februari 2012

MOTIVASI DARI HADIS NABI MUHAMMAD S.A.W

MOTIVASI DARI HADIS NABI MUHAMMAD S.A.W

APAKAH SEBENARNYA HUKUM MEROKOK? DULU DENGARNYA MAKRUH, SEKARANG HARAM PULA, KENAPA?

Hadis riwayat Abu Daud di dalam sunannya, katanya: “Harun bin Abdullah menceritakan kepada kami, katanya, Muhammad bin Basyar menceritakan kepada kami, katanya, Yunus bin Ishak menceritakan kepada kami daripada Mujahid daripada Abu Hurairah r.a katanya : “Rasulullah SAW melarang mengambil ubat-ubatan yang keji.” (Hadis Sahih)

Merujuk kepada buku Isu-isu Fiqh Perubatan Semasa oleh al Syeikh Walid bin Rasyid al Su’aidan terjemahan oleh Dr. Basri bin Ibrahim al Hasani al Azhari, terbitan al Hidayah. Isu diatas dapat dikupas berdasarkan hadis tadi dan ayat al Quran Surah al Baqarah ayat 195 “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke arah kebinasaan…”, Surah al A’raf ayat 157 “Dan menghalalkan segala benda yang baik dan mengharamkan segala benda yang buruk” dan surah al Isra’ ayat 26-27 “Dan janganlah kamu membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau”

Berdasarkan dalil-dalil tadi dapatlah:

1. Berdasarkan kesepakatan doktor yang bijaksana lagi dipercayai, merokok termasuk dalam punca-punca yang menyebabkan kebinasaan tanpa keraguan.

2. Merokok adalah satu pembaziran yang memusnahkan keluarga dan ekonomi.

3. Ubat yang keji pun syarak melarangnya apatah lagi mengambil ibu segala kekejian iaitu rokok.

Akhirnya kembali kepada persoalan diatas, jawapan bagi HUKUM MEROKOK adalah HARAM tanpa keraguan mengikut ulama kontemporari setelah kajian demi kajian moden mengesahkan rokok sangat berbahaya untuk kesihatan dan asapnya memudaratkan diri sendiri serta orang lain. Kajian ini belum didapati oleh ulama terdahulu ketika menghukumnya MAKRUH.

Pesanan: Buat penjual rokok, ketahuilah bahawa salah satu punca rezeki dan perniagaan anda tidak berkat ialah kerana menjual rokok. Untuk apa keuntungan seringgit dua jika ia boleh menghancurkan anak bangsa. Buat perokok, berusahalah sehabis daya untuk berhenti merokok. Merokok itu kehinaan.

(Sumber: Info Fiqh Medik dalam Novel Denyut Kasih Medik oleh Dr. Farhan Hadi.)

Ahad, 12 Februari 2012

MOTIVASI DARI HADIS NABI MUHAMMAD S.A.W


MOTIVASI DARI HADIS NABI MUHAMMAD S.A.W

KEMAAFAN MENAMBAH KEMULIAAN
Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: “Tidak akan berkurangan harta dengan bersedekah, tidak akan bertambah ke atas seseorang hamba dengan sebab memberi kemaafan melainkan bertambah kemuliaan dan tidak akan tawaduk merendah seseorang terhadap Allah melainkan Allah akan mengangkat darjatnya.” (Riwayat Muslim no. 2588)
Di antara faedah sifat pemaaf ialah:
  1. Menunjukkan satu ciri akhlak yang mulia.
  2. Dalil kepada kesempurnaan iman dan Islam yang baik.
  3. Tanda kepada orang yang berlapang dada dan berbaik sangka.
  4. Hasil daripada cintakan sesama manusia.
  5. Selamat dari fitnah dan terpelihara daripada tergelincir.
  6. Menunjukkan kepada kesempurnaan dan kemuliaan jiwa.
  7. Sebagai satu persediaan sebuah masyarakat kepada suasana yang baik dan kehidupan yang lebih afdhal.
  8. Sebagai satu jalan cahaya dan hidayah kepada orang bukan Islam.
  9. Mendapat kebaikan dunia dan akhirat kerana manusia suka kepada orang yang tenang dan suka memberi kemaafan.
(Dipetik dari artikal: Dr. Abdul Basit Abd Rahman, Mimbar Utama, Majalah I, Februari 2012)

Sabtu, 11 Februari 2012

MOTIVASI DARI HADIS NABI MUHAMMAD S.A.W (7)


MOTIVASI DARI HADIS NABI MUHAMMAD S.A.W

UJIAN BAGI UMAT NABI MUHAMMAD SAW
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “ Sesungguhnya bagi setiap umat itu mempunyai ujian dan ujian bagi umatku adalah harta kekayaan.” (Riwayat at-Tirmizi)
Penerangan:
                Kekayaan, kemewahan dan pangkat dapat mengubah pendirian seseorang. Islam melarang umatnya bersikap terlalu mementingkan kehidupan dunia dan mengutamakan kehidupan peribadi lebih daripada kepentingan masyarakat.
                Pemberian serta nikmat keduniaan itu sebenarnya adalah bentuk ujian  daripada Allah SWT untuk menilai sama ada manusia menghargainya dengan bersyukur atau tenggelam dalam kelekaan hingga menjadi kufur terhadap Allah.
                Setiap individu perlu berwaspada supaya tidak menjadikan harta kekayaan sebagai alasan untuk melupakan perintah dan suruhan Allah, sebaliknya menjadikan  nikmat itu sebagai faktor kekuatan serta pendorong melakukan lebih amal soleh dan kebajikan.
                Golongan seperti itu pastinya akan beruntung di dunia dan mendapat ganjaran besar di akhirat kelak.