Rabu, 14 Mac 2012

MOTIVASI DARI HADIS NABI MUHAMMAD S.A.W


MOTIVASI DARI HADIS NABI MUHAMMAD S.A.W
WAKTU PAGI LEBIH INDAH DISINARI NIKMAT DHUHA
Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:
“Setiap tulang sendi seseorang menjelang pagi memerlukan sedekah. Untuk itu, setiap tasbih adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah dan setiap takbir adalah sedekah. Menyeru makruf adalah sedekah, mencegah kemungkaran adalah sedekah. Semua perbuatan itu sama nilainya dengan dua rakaat solat Dhuha.”
(Riwayat Abu Dzar)
Nikmat solat sunat Dhuha:
1.Tidak termasuk golongan yang lalai.
2.   Seolah-olah seluruh anggota melakukan kebaikan. 
3. Diperkenankan doa selepas solat sunat Dhuha. 
4.Dimurahkan rezeki. 
5. Dipelihara oleh Allah S.W.T
6.  Dihapuskan dosa.

Jumaat, 24 Februari 2012

MOTIVASI DARI HADIS NABI MUHAMMAD S.A.W

MOTIVASI DARI HADIS NABI MUHAMMAD S.A.W

APAKAH SEBENARNYA HUKUM MEROKOK? DULU DENGARNYA MAKRUH, SEKARANG HARAM PULA, KENAPA?

Hadis riwayat Abu Daud di dalam sunannya, katanya: “Harun bin Abdullah menceritakan kepada kami, katanya, Muhammad bin Basyar menceritakan kepada kami, katanya, Yunus bin Ishak menceritakan kepada kami daripada Mujahid daripada Abu Hurairah r.a katanya : “Rasulullah SAW melarang mengambil ubat-ubatan yang keji.” (Hadis Sahih)

Merujuk kepada buku Isu-isu Fiqh Perubatan Semasa oleh al Syeikh Walid bin Rasyid al Su’aidan terjemahan oleh Dr. Basri bin Ibrahim al Hasani al Azhari, terbitan al Hidayah. Isu diatas dapat dikupas berdasarkan hadis tadi dan ayat al Quran Surah al Baqarah ayat 195 “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke arah kebinasaan…”, Surah al A’raf ayat 157 “Dan menghalalkan segala benda yang baik dan mengharamkan segala benda yang buruk” dan surah al Isra’ ayat 26-27 “Dan janganlah kamu membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau”

Berdasarkan dalil-dalil tadi dapatlah:

1. Berdasarkan kesepakatan doktor yang bijaksana lagi dipercayai, merokok termasuk dalam punca-punca yang menyebabkan kebinasaan tanpa keraguan.

2. Merokok adalah satu pembaziran yang memusnahkan keluarga dan ekonomi.

3. Ubat yang keji pun syarak melarangnya apatah lagi mengambil ibu segala kekejian iaitu rokok.

Akhirnya kembali kepada persoalan diatas, jawapan bagi HUKUM MEROKOK adalah HARAM tanpa keraguan mengikut ulama kontemporari setelah kajian demi kajian moden mengesahkan rokok sangat berbahaya untuk kesihatan dan asapnya memudaratkan diri sendiri serta orang lain. Kajian ini belum didapati oleh ulama terdahulu ketika menghukumnya MAKRUH.

Pesanan: Buat penjual rokok, ketahuilah bahawa salah satu punca rezeki dan perniagaan anda tidak berkat ialah kerana menjual rokok. Untuk apa keuntungan seringgit dua jika ia boleh menghancurkan anak bangsa. Buat perokok, berusahalah sehabis daya untuk berhenti merokok. Merokok itu kehinaan.

(Sumber: Info Fiqh Medik dalam Novel Denyut Kasih Medik oleh Dr. Farhan Hadi.)

Ahad, 12 Februari 2012

MOTIVASI DARI HADIS NABI MUHAMMAD S.A.W


MOTIVASI DARI HADIS NABI MUHAMMAD S.A.W

KEMAAFAN MENAMBAH KEMULIAAN
Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: “Tidak akan berkurangan harta dengan bersedekah, tidak akan bertambah ke atas seseorang hamba dengan sebab memberi kemaafan melainkan bertambah kemuliaan dan tidak akan tawaduk merendah seseorang terhadap Allah melainkan Allah akan mengangkat darjatnya.” (Riwayat Muslim no. 2588)
Di antara faedah sifat pemaaf ialah:
  1. Menunjukkan satu ciri akhlak yang mulia.
  2. Dalil kepada kesempurnaan iman dan Islam yang baik.
  3. Tanda kepada orang yang berlapang dada dan berbaik sangka.
  4. Hasil daripada cintakan sesama manusia.
  5. Selamat dari fitnah dan terpelihara daripada tergelincir.
  6. Menunjukkan kepada kesempurnaan dan kemuliaan jiwa.
  7. Sebagai satu persediaan sebuah masyarakat kepada suasana yang baik dan kehidupan yang lebih afdhal.
  8. Sebagai satu jalan cahaya dan hidayah kepada orang bukan Islam.
  9. Mendapat kebaikan dunia dan akhirat kerana manusia suka kepada orang yang tenang dan suka memberi kemaafan.
(Dipetik dari artikal: Dr. Abdul Basit Abd Rahman, Mimbar Utama, Majalah I, Februari 2012)

Sabtu, 11 Februari 2012

MOTIVASI DARI HADIS NABI MUHAMMAD S.A.W (7)


MOTIVASI DARI HADIS NABI MUHAMMAD S.A.W

UJIAN BAGI UMAT NABI MUHAMMAD SAW
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “ Sesungguhnya bagi setiap umat itu mempunyai ujian dan ujian bagi umatku adalah harta kekayaan.” (Riwayat at-Tirmizi)
Penerangan:
                Kekayaan, kemewahan dan pangkat dapat mengubah pendirian seseorang. Islam melarang umatnya bersikap terlalu mementingkan kehidupan dunia dan mengutamakan kehidupan peribadi lebih daripada kepentingan masyarakat.
                Pemberian serta nikmat keduniaan itu sebenarnya adalah bentuk ujian  daripada Allah SWT untuk menilai sama ada manusia menghargainya dengan bersyukur atau tenggelam dalam kelekaan hingga menjadi kufur terhadap Allah.
                Setiap individu perlu berwaspada supaya tidak menjadikan harta kekayaan sebagai alasan untuk melupakan perintah dan suruhan Allah, sebaliknya menjadikan  nikmat itu sebagai faktor kekuatan serta pendorong melakukan lebih amal soleh dan kebajikan.
                Golongan seperti itu pastinya akan beruntung di dunia dan mendapat ganjaran besar di akhirat kelak.

Khamis, 26 Januari 2012

MOTIVASI DARI HADIS NABI MUHAMMAD SAW

MOTIVASI DARI HADIS NABI MUHAMMAD S.A.W
(Oleh: Mohamad Razi Bin Haji Zulkifli, Bentong,  Pahang Darul Makmur)
BERSEDEKAH BUKAN SAHAJA DENGAN HARTA
Daripada  Abu Dzar r.a berkata, sebahagian sahabat berkata kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullulah, orang-orang kaya  pergi membawa banyak pahala. Mereka solat sebagaimana kami solat, mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa, namun mereka dapat bersedekah dengan kelebihan hartanya. Nabi SAW bersabda:’ Bukankah Allah telah menjadikan untuk mu sesuatu yang dapat disedekahkan? Sesungguhnya setiap kali tasbih (bacaan subhanallah) adalah sedekah, setiap kali tahmid (bacaan alhamdulillah) adalah sedekah, setiap kali tahlil (bacaan laa  ilaaha  illallah) adalah sedekah, menyuruh kepada kebaikan adalah sedekah, melarang kemungkaran adalah sedekah, dan jimaknya salah seorang  antara kamu juga adalah sedekah. ‘ Mereka bertanya: ‘Wahai Rasulullah, adakah jika salah seorang daripada kami memenuhi hajat syahwatnya berpahala?’ Rasulullah SAW menjawab: ‘Menurut mu, bukankah jika dia menyalurkan syahwatn ya pada yang haram, maka dia berdosa? Maka demikian pula apabila dia menyalurkannya pada yang halal, dia mendapat pahala.’”
(Riwayat Ahmad no. 21483 dan Muslim no. 1006)
Sumber: Zahazan Mohamed & Muhammad Zakaria(2011) Hadis 40 Iman Nawawi, Telaga Biru sdn bhd, Kuala Lumpur.

MOTIVASI DARI HADIS NABI MUHAMMAD SAW

MOTIVASI DARI HADIS NABI MUHAMMAD S.A.W  
(OLEH: MOHAMAD RAZI BIN HAJI ZULKIFLI)
“Menuntut ilmu itu adalah satu kefarduan (wajib) ke atas setiap Muslim” (Riwayat Ibnu Majah)
Menuntut ilmu adalah satu proses pengisian jasad dan minda lahiriah hingga menjadikan jasad dan minda itu hidup, berfungsi, cemerlang, bermanfaat di tengah-tengah masyarakat, membangunkan ketamadunan manusia dan bersedia untuk bertemu dengan Allah Subhanahuwataala sebelum ke liang lahad dan seterusnya ke padang mahsyar di akhirat. Oleh sebab  itu, isilah jasad dan minda ini dengan ilmu yang hak dan bermanfaat serta diredhai Allah Subhanahuwataala.        
(Majalah Fardhu  Ain edisi 8)      

Khamis, 15 Disember 2011

Motivasi dari hadis Nabi Muhammad S.A.W (1)

MOTIVASI DARI HADIS NABI MUHAMMAD S.A.W (1)
Dari Jabir R.A, dia berkata, aku pernah mendengar  Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:
“JIKA ADA SESEORANG  MEMASUKI RUMAHNYA LALU DIA MENYEBUT NAMA ALLAH S.W.T PADA SAAT MEMASUKINYA DAN PADA SAAT MAKAN. MAKA SYAITAN AKAN BERKATA KEPADA RAKAN-RAKANNYA: ‘ TIDAK ADA TEMPAT MENGINAP BAGI KAMU SEMUA DAN TIDAK ADA JUGA MAKAN MALAM UNTUK KAMU SEMUA.’ DAN JIKA MASUK RUMAH, ,LALU DIA TIDAK MENYEBUT NAMA ALLAH PADA SAAT MEMASUKINYA, MAKA SYAITAN AKAN BERKATA: ‘ KAMU SEMUA BOLEH MENGINAP DI SINI,’ DAN JIKA TIDAK  MENYEBUT NAMA ALLAH PADA SAAT AKAN MAKAN MAKA SYAITAN AKAN BERKATA: ‘KAMU SEMUA BOLEH MENGINAP DAN JUGA DAPAT MAKAN MALAM.’”
(Riwayat Muslim)